Sunday, August 23, 2009

Tun's M

Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini. :MATHFONT :BRKBIN :LMARGIN :RMARGIN :DEFJC :WRAPINDENT :INTLIM :NARYLIM

Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).

Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.

Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.

Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.

Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.

Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.

Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.

Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?

Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).

Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?

Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.

Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.

Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.

Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?

Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.

Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

Thursday, August 20, 2009

ANAK MELAYU

MAINKAN VIDEO INI DAHULU


A tribute to Aizad Roslan

Jauh mana..terbang pergi
Kembali..
Hujung dunia..gunung tinggi
Berdiri..
Walau tempur..lautan berapi
Takkan hilang..kalau berani

Rasa bangga..sudah pergi
Kini tinggal..apa lagi
Ingat-ingat siapakah diri
Jangan lupa negeri sendiri

Biar bumi..jadi saksi
Tanya-tanya dalam hati
Jangan lupa pada asalmu
Kita ini anak Melayu

Mengapa..
Engkau terlupa
Kenapa..
Engkau terlena
Bagaimana..
Hendakku kata

Dari mana datangnya kita

Hilang diri..apa erti
Jangan cari..tiada ganti
Ingat-ingat siapakah diri
Jangan lupa negeri sendiri

Kalau benci..tolak tepi
Bagai api..makan diri
Jangan lupa mana asalmu
Kita ini anak Melayu



*tribute to FTG

Tuesday, August 18, 2009

TUN MAHATHIR KERAMAT HIDUP

Artikel ini pernah tersiar di majalah E9 keluaran Mac 2009, akhbar Utusan 30 Mac 2009

TUN MAHATHIR KERAMAT HIDUP

Sebahagian besar dan majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Dr Mahathir. Legasi pemerintahnya menyumbang kesan yang bukan sedikit kepada era pemodenan dan pentadbiran negara dan tamadun bangsa yang bukan calang-calang. Beliau dilihat begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan bangsa Melayu dan Negara Malaysia dengan cemerlang. Namun setelah perletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, kelihatan seperti beliau cuba untuk di bekukan dan dipadamkan dari perbualan rakyat Malaysia. Umum tahu,apabila tampok pemerintahan berubah, maka sudah semestinya Pak Lah harus diberikan keutamaan dan perlu dilihat jauh lebih hebat dari Tun Mahathir. Dalam keadaan ini, tindakan Pak Lah dan perancang utama yang berada di sekeliling beliau dilihat cuba untuk memadamkan sejarah cemerlang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir. Namun bukan semudah itu untuk membunuh kecemerlangan pemimpin ulung ini yang kalau pun tidak diikitiraf oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang masih berfikiran primitif tetapi seluruh dunia mengangkat ketokohan beliau sehingga hari ini. Pemikiran dan tindakan beliau amat sukar dibaca hingga kesan segala ucapannya sering mengemparkan rakyat dan ahli UMNO yang semakin hilang arah. Malah tindakan beliau juga memberikan impak yang begitu besar kepada PRU 12. Keluarnya beliau dari UMNO turut memberikan tempias yang bukan sedikit kepada UMNO hingga kesannya turut terpalit dalam pilihanraya di Permatang Pauh. Namun tindakan ini tidak lama apabila beliau menyatakan hasrat untuk bersama UMNO semula.

Kembalinya yang berbahagia Tun Dr Mahathir ke pangkuan UMNO merupakan perkhabaran gembira yang di nanti oleh ramai pejuang dan pendokong UMNO. Keluarnya Tun Mahathir dari UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Kembalinya beliau untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional harus mendapat penerimaan dan keterbukaan khususnya mengenai segala luahan dan pandangan yang perlu sentiasa diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

Kita tidak dapat menyalahkan Tun Mahathir yang mengumumkan keluar dari UMNO tidak berapa lama dahulu. kerana kecewa terhadap Pak Lah. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Pak Lah seharusnya melihat kembalinya Tun Mahathir ini sebagai cabaran dan tanggungjawab untuk memulihkan keadaan khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional. Semestinya Pak Lah telah memikirkan situasi untuk pemulihan UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Tun Mahathir suatu ketika dahulu. Malah jika keinginan Dr Mahathir untuk memaksa Pak Lah berundur kerana pandangannya yang jauh terhadap kepentingan negara dan bangsa, Pak Lah harus menilai perkara ini dari sudut positif dan rela berkorban untuk bangsa, agama dan negara. Kita tahu bukan mudah untuk Pak Lah melepaskan jawatan seperti mana Dr Mahathir meluahkan hasrat meletakan jawatan statu ketika dahulu hinggakan seluruh negara tersentak dan terkedu. Bezanya hari ini ialah apabila kebanyakkan ahli UMNO sendiri menginginkan Pak Lah melepaskan jawatan tanpa perlu menunggu tempoh 2010 demi survival UMNO dan Barisan Nasional. Dahulu, tempoh perletakan jawatan Dr Mahathir ditangisi bezanya sekarang, tempoh pengunduran Pak Lah dinanti-nanti.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional. Ramai pimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya. Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Mahathir selepas meninggalkan tampok pemerintahnya selama 22 tahun. Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh pimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Amat menyedihkan apabila negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya dianggap pengacau selepas era pemerintahnya berakhir suatu ketika dahulu. Tsunami politik pada 9 Mac 2008 amat berbeza dengan ombak kecil pada 1999 selepas pemecatan Dato Seri Anuar. Dr Mahathir masih berdiri kukuh walaupun selepas peristiwa September 1998 beliau antara pemimpin yang paling hebat menerima kecaman, hinaan, dan kata nista yang tidak terbayang akan dilemparkan oleh parti pembangkang mahupun ahli UMNO sendiri. Malah jauh dari itu solat hajat juga diadakan untuk tujuan buruk oleh sebahagian besar penyokong parti pembangkang. Menimbau persitiwa lama, penulis sendiri merupakan penyokong fanatik pembangkang yang ‘tertutup mata hati’ ketika itu hinggakan merasakan kehilangan apabila Tun Mahathir mengumumkan pengundurannya pada tahun 2002. Tetapi dalam situasi yang tenang dan damai dalam era pemerintah Pak Lah, kemenangan parti pembangkang dan nasib malang yang menimpa UMNO dan Barisan Nasional tanpa diduga oleh sesiapa pun termasuklah parti pembangkang sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dibaca dan dijangka. Apa yang terjadi terhadap Barisan Nasional dilihat sebagai satu pengajaran dan setidak-tidaknya merenung kembali sikap dan layanan yang dilakukan terhadap Tun Mahathir sebelum ini telah memberikan kesan. Penghormatan dan jasanya yang tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan sedangkan pengorbanannya jauh lebih besar dari yang kita fikirkan. Malah memetik kata-kata seorang ahli politik legasi Tun Mahathir, beliau antara seorang dari begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu maka Tun Mahathir adalah pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara selepas perletakan jawatannya. Semoga hari ini pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dapat menginsafi peristiwa ini menoleh semula kebelakang untuk menghargai sumbangan beliau.

Sanjungan untuk Tun Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia dan hampir diseluruh dunia khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam 22 tahun pemerintahnya berapa ramai rakyat Malaysia mendapat pekerjaan dan mampu menyara keluarga dan mengeluarkan zakat?. Janganlah kita lupa begitu ramai rakyat negara jiran juga datang mendapatkan sesuap nasi dan rezeki yang melimpah ruah untuk membantu keluarga mereka di negara asal. Lupakah kita bagaimana beliau sebagai pemimpin kita ketika itu mampu mempertahankan maruah umat Islam dari serangan Yahudi dan Nasrani pada ketika bangsa Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka?. Sedikitkah jasa Tun Mahathir apabila berjuta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afganistán, Sudan, dan lain-lain negara Islam mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan pelbagai sokongan lain semasa era pemerintahnya?. Jika dunia Islam mengakui dan mendoakan kesejahteraan beliau dan Allah Maha Mengetahui isi hati dan keikhlasan hambanya maka sebagai sesama manusia adakah wajar kita menzalimi segala jasa dan pengorbanan Tun Mahathir kepada bangsa, agama dan negara. Malah pengorbanan beliau melangkau benua dan sempadan yang tidak mampu diharungi oleh pemimpin negara Islam yang lain pada ketika negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi kemampuan untuk membantu negara lain.

Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan Tun Mahathir dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Jika banyak pimpinan negara seperti di Singapura meletakkan bekas pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan mereka termasuk parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan bekas presiden atau pemimpin utama mereka sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat untuk memperkukuhkan sokongan. Persoalannya, mengapa UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh meniru situasi yang boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara ini?. Masih butakah kita untuk menilai segala sumbangan jariah dan pemikirannya yang menyebabkan bangsa dan agama kita kembali diikitraf setelah sekian lama dijajah. Ingatlah bahawa bangsa Melayu adalah antara bangsa terakhir menerima ajaran Islam, tetapi di atas sumbangan dan pemerintahan beliau orang Melayu menjadi bangsa yang boleh membantu seluruh umat Islam.

Tun Mahathir bagi saya adalah ‘Keramat Hidup’ yang berbisa kata-katanya, selalu betul dalam segala tindakannya, terlalu mendalam pandangannya dan jarang dari kita membaca gerak hatinya. Pengalaman panjang sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini. Pandangan Tun Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak dari firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu. Fikirkan sejenak duhai pimpinan dan ahli UMNO, beliau bukan calang-calang orang kerana Tun Mahathir ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, pénelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati. Beliau sangat menghormati masa, tiada kepentingan diri apatah lagi kroni, tidak khianat kepada sesiapa kerana keikhlasan sepenuhnya dicurahkan kepada UMNO yang amat disayanginya. Malanglah bagi kita jika membiarkan Tun Mahathir berada di luar gelanggang. Beliau sewajarnya dihormati kerana pengalaman dan pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO jika masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohnya untuk memperkasakan UMNO kembali. Saya pernah mencadangkan kepada pimpinan negara selepas PRU 12 dan sekali lagi mahu mencadangkan agar Tun Mahathir dilantik sebagai PENASIHAT AGUNG UMNO dan Penasihat Negara sementara hayatnya masih ada kerana kebangkitan UMNO dan Hidupnya UMNO dan kehebatan negara Malaysia adalah pengorbanan beliau yang perlu diakui dengan tulus ikhlas dari kita sebagai pendokong Parti Keramat ini.

Kaji semula sistem pendidikan menengah

Ketika merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Muhyiddin meminta semua pihak memandang gejala ponteng dan gangsterime sebagai perkara serius yang perlu ditangani oleh semua pihak. Gejala ponteng bukanlah baru dalam arena pendidikan kerana ianya berlaku sejak sekian lama dan keadaan ini kian ketara akhir-akhir ini apabila kurangnya kawalan dan tindakan yang boleh diambil terhadap pelajar yang terlibat dalam gelaja ponteng. Malah dalam sesetengah situasi, pihak yang ingin mengambil tindakan khususnya Guru Disiplin atau Penolong Kanan HEM perlu berfikir panjang bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini. Kuasa guru di luar sekolah adalah amat terbatas dan gejala ini sering ditimbulkan oleh pelajar yang memang sudah tidak berminat untuk belajar. Kelompok ini pula mampu mempengaruhi golongan ‘pelajar baik’ dan akhirnya memberikan kesan yang lebih besar kepada iklim persekolahan. Sebelum membincangkan perkara ini kita harus mengenalpasti golongan manakah yang lebih banyak terlibat dalam gejala ini? Kebanyakkan pelajar yang terlibat dalam salahlaku ini adalah pelajar dari tingkatan 4 dan 5 namun tidak dinafikan terdapat penglibatan pelajar tingkatan 1 hingga 3, tetapi golongan ini mungkin ‘kurang berani’ atau ‘masih bimbang’ melakukan salahlaku tersebut.

Sehubungan itu Kementerian Pelajaran wajar mengkaji adakah kewajaran pelajar yang berisiko atau yang sudah tidak berminat bersekolah dipaksa untuk datang dan kemudiannya memberikan masalah kepada sistem pendidikan kita. Saya masih teringat sistem pendidikan sebelum ini di era 80an di mana pelajar yang tidak mencapai tahap ditetapkan dalam peperikasaan SRP (kini PMR) tidak layak untuk naik ke tingkatan 4. Saya melihat kesan kepada sistem ini adalah amat positif berbanding sistem sekarang yang membolehkan semua pelajar naik ke tingkatan 4 secara automatik. Sistem peperiksaan SRP dahulu lebih baik dilaksanakan semula untuk pelajar PMR bagi membendung pelajar yang lemah dan sudah tidak layak belajar terus ‘dipaksa’ melalui zaman persekolahan yang mengundang mereka melakukan gejala ponteng dan gangsterisme. Kebanyakan mereka yang tidak layak berada di tingkatan 4 banyak mencetuskan iklim persekolahan yang kurang kondusif dan menjejaskan tumpuan guru yang mengajar serta menimbulkan gangguan kepada pelajar yang masih bersemangat untuk belajar dan berjaya. Sebelum mengembalikan semula sistem lama ini, Kementerian Pelajaran wajar menyediakan sekolah vokasional atau Pusat Latihan Giat Mara disetiap daerah agar pelajar yang tidak layak menaiki tingkatan 4 berpeluang mempelajari kemahiran kerjaya untuk meneruskan impian mereka. Adalah sangat malang jika mereka berada di tingkatan 4 dan 5 dalam dalam masa yang sama mereka tidak mampu meneruskan persekolahan dan hanya menghabiskan masa dan wang ringgit ibu bapa. Dalam hal ini kita wajar mencontohi sikap ibu bapa kaum cina yang ‘menamatkan’ persekolahan anak-anak mereka jika dilihat sudah tidak berminat sebaliknya digalakkan bekerja dengan mana-mana pihak yang boleh membekalkan kemahiran dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik dari graduan universiti yang menunggu dan mencari kerja. Malah golongan ini berjaya mencipta kerja dan boleh berdikari berbanding mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

Pelajar Melayu yang berada dalam lingkungan ini wajar diberikan perhatian dan peluang membina masa depan yang lebih terjamin dengan melalui sistem kemahiran semasa tingkatan 4 dan 5 di sekolah khas (vokasional kemahiran). Saya percaya jika pelajar di tingkatan satu hingga tiga mengetahui akibat kegagalan di peringkat PMR peluang untuk berada di aliran akademik akan tertutup maka mereka akan mempunyai fokus kepada pembelajaran bagi melayakkan naik ke tingkatan 4. Jurang dan masalah ponteng serta masalah salahlaku di kalangan pelajar di tingkatan satu hingga 3 juga boleh dikawal dan dikurangkan. Trend ‘couple’ di kalangan pelajar sekolah yang hampir mustahil untuk dihalang juga boleh mendorong pelajar lelaki untuk berusaha menempatkan diri mereka ke tingkatan 4 dan boleh membantu mereka bersaing dan berusaha semasa di tingkatan 1 hingga 3. Mereka akan merasa malu jika ‘couple’ mereka berjaya naik ke tingkatan 4 dan boleh merangsang diri masing-masing berjaya.

Dalam masa yang sama, usaha harus digerakkan seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi memerangi budaya ponteng yang mengundang berbagai gejala yang menyebabkan pelbagai jenayah dilakukan oleh pelajar. Pembentukan pasukan seperti yang dicadangkan juga harus mempunyai kuasa dan kerjasama khususnya dari pihak ibu bapa dalam membantu pihak Kementerian Pelajaran. Malahan kuasa dan bidang tugas Guru Displin juga wajar dinilai semula. Sekolah-sekolah berisiko perlu diberikan kelonggaran masa mengajar dan mungkin dilantik guru displin sepenuh masa bagi memberikan tumpuan mengawal masalah pelajar berisiko.


Cr. Lukman Moidin

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Negeri Kedah

Free Gaza