Saturday, August 30, 2014

Minda Feriz Omar


KRITERIA PEMIMPIN: INTEGRITI VS POPULARITI


Dalam perbincangan saya bersama tokoh-tokoh politik, cendekiawan dan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 26 Februari lalu, saya mengambil kesempatan untuk mengupas kecenderungan rakyat Malaysia yang sudah mula meletakkan integriti pemimpin-pemimpin sebagai kriteria nombor dua selepas populariti.

Secara realiti pada hari ini, ramai antara kita tidak lagi boleh mencongak kedudukan terakhir kecelaruan politik Malaysia. Jerebu kekeliruan yang tebal anjuran pelbagai media sesekali membuat kita sesak dada dalam mengikuti arus perkembangan politik negara.

Ternyata, King Makers boleh menjadikan seseorang pemimpin itu popular biarpun pemimpin itu mempunyai masalah integriti yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Gara-gara inilah, rakyat kini mudah mual melihatkan liputan melampau ke atas sesetengah pemimpin sehingga boleh menjadikan kita malas membaca atau menonton propaganda media.

Mujur bagi kita yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ mengetahui hakikat sebenar bahawa pemimpin-pemimpin yang lebih menonjol di dada akhbar ataupun media elektronik sebegini tidak semestinya menjadi calon lebih hebat berbanding pemimpin-pemimpin yang jarang mendapat liputan media.

MEMBINA MATA HATI YANG TAJAM

Sempena Maulidur Rasul 1430H semalam, mari kita imbas kembali senario peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama golongan kafirun dan Islam.

Bayangkanlah betapa payahnya Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengumpulkan kekuatan tentera pada ketika Islam masih baru di bumi Arab.

Tentera kecil Islam seramai 313 orang adalah tentera yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT sehingga berjaya mengalahkan ribuan gerombolan askar kafirun.

Begitu jugalah hendaknya Melayu UMNO sempena pemilihan hujung Mac 2009 nanti. Yakinlah dan sedar-sedarlah bahawa Allah Yang Maha Pencipta sebenarnya masih baru lagi berbicara melalui junjungan Nabi Muhammad SAW pada 610 Masihi iaitu hanya lebih kurang 1,400 tahun yang lalu melalui lima ayat pertama Iqra’ bermaksud ‘Bacalah’ yang sebenarnya disasarkan juga kepada golongan cerdik pandai untuk memimpin ummah.

Dalam membina keyakinan kepada Allah dan mengasah ‘mata hati yang tajam’, ayat 3 surah Al-Maidah juga jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam untuk yakin beriman hanya kepada-Nya dengan berfirman, Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu.

Dengan merumuskan kedua-dua ayat suci al-Quran ini, kembalilah kepada Allah dan Islam! Ingatlah bahawa peraturan hidup kita di muka bumi ini telah diatur dengan sempurna melalui al-Quran, Hadis dan Sunnah, 

Ijma’ serta Qiyas.

Atas keyakinan ini juga, insya-Allah kita sebagai golongan cerdik pandai yang dipilih untuk memimpin ummah akan diberikan-Nya lorong jelas untuk memperolehi ‘mata hati yang tajam’, insya-Allah.

INGATLAH PEMIMPIN ADALAH IKON INTEGRITI RAKYAT

Rencana tulisan saya bertarikh 24 Februari yang lalu ada menyentuh kes-kes skandal seks Presiden Bill Clinton di Amerika Syarikat dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di Malaysia sebagai bukti kepincangan sistem demokrasi anjuran rejim Amerika Syarikat yang berleluasa di serata dunia.

Sistem demokrasi suara rakyat kini telah menghalalkan semua cara menurut kehendak manusia untuk mengetepikan persoalan integriti pemimpin sehingga melanggar falsafah pegangan agama-agama dunia, terutamanya Islam.

Seorang pemimpin yang berkerjaya sebagai ahli politik perlu sentiasa ingat bahawa dia adalah public figure (personaliti awam) yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai public property (hak awam) yang mana setiap tutur kata, tingkah laku dan cara hidup pemimpin tersebut sentiasa dipantau lantaran terdedah kepada kritikan rakyat terhadap integriti pemimpin.

Justeru, rakyat sememangnya berhak untuk mengkritik tentang kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu-isu berbangkit.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan 
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).




Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pilih pemimpin beri harapan ‘masa depan


PADA 25 Mac 2009 akan terungkailah persoalan rakyat mengenai jangka hayat UMNO sebagai wadah perjuangan ketamadunan Melayu dunia. Tarikh ini juga akan menentukan sama ada ia akan mengakhiri atau memanjangkan lagi krisis politik dan ekonomi Malaysia yang secara kebetulan, jatuh pada jangka masa yang sama.

PUTARAN GANAS KRISIS POLITIK DAN EKONOMI – SECARA KEBETULAN?

Sebenarnya, putaran ganas krisis politik berlaku setiap 10 tahun bermula sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1946-1947, Datuk Onn Jaafar menentang kewujudan Malayan Union melalui UMNO yang baru ditubuhkan oleh beliau. Pada 1957: Sekali pun Malaya dimerdekakan namun keganasan komunis menjadikan rakyat musykil tentang status kemerdekaan tanah air.

Pada 1967-1969: Ketegangan antara kaum memuncak apabila jumlah kerusi ADUN Selangor terpecah sama rata antara BN dan parti pembangkang. 1974-1977: Revolusi mahasiswa menentang kewujudan Akta 

Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 1987: Pertandingan sengit antara Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh sebelum UMNO diharamkan. 1997: Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin kedua tertinggi UMNO dan kerajaan disingkir. 2008: Revolusi akar umbi dipelopori oleh NGO berlaku setelah kekalahan paling dahsyat UMNO-BN dalam sejarah 50 tahun merdeka, manakala pembangkang mengambil kesempatan atas kecelaruan politik dan ekonomi tanah air.

Senario 10 tahun putaran ganas juga berlaku dalam sektor ekonomi dunia. 2007: Kehancuran ekonomi kapitalis anjuran rejim Yahudi-Amerika akibat kenaikan harga minyak melampau. 1997: Ekonomi Asia tergugat setelah diserang penyangak mata wang George Soros. 1987: “Black Monday” memperlihatkan kerugian terbesar bursa-bursa dunia ekoran daripada jual beli saham berlebihan. 1977: Ekonomi Amerika lembap menarik sama kebanyakan blok ekonomi ekoran daripada peperangan Vietnam.

Dunia pada ketika itu dipengaruhi oleh najis dadah serta budaya hippie sebagai alasan untuk mengalihkan generasi muda daripada isu pengangguran dan penyakit mental askar-askar peperangan Vietnam. 1967: Pound sterling Inggeris, mata wang dunia paling kukuh menjunam dan turut menjejaskan ekonomi dunia sehingga Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno menganjurkan “Ganyang Malaysia” bagi mengalihkan pandangan rakyat ke luar negara.

Pada tahun yang sama, ASEAN ditubuhkan untuk menangani dan memaju pelbagai usaha politik, ekonomi dan sosial serantau.

Memang benar penganalisisan saya terhadap kronologi fenomena 10 tahun tersebut menarik namun sebagai seorang Islam, saya anggap ia adalah suatu kebetulan.

Apa yang lebih penting kejayaan dalam menangani krisis politik dan ekonomi di atas bergantung kepada gerak kerja efektif yang lahir dari barisan kepimpinan yang mempunyai kriteria ‘faktor-X’, berkredibiliti, berintegriti dan berintelektual tinggi.

STRATEGI BLUE OCEAN – FORMULA MEMULIH KEMBALI UMNO

Mengaitkan kandungan buku bertajuk Blue Ocean Strategy tulisan Kim and Mauborgne yang kini menjadi rujukan ramai pemimpin negara dan tokoh korporat dunia, UMNO yang sekian lama wujud dan matang dalam Red Ocean kini sudah sedia mewujudkan kekuatan baru di arena yang tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.

Datuk Seri Najib perlu memimpin UMNO ke arah “mencari kekuatan melalui persamaan bukan persaingan” demi mewujudkan keharmonian antara hubungan rakyat-kerajaan sebagai mana penyedia perkhidmatan memenuhi cita rasa pelanggan dengan menyediakan keselesaan luar jangkauan.

Namun secara realitinya, UMNO terpaksa menghadapi pelbagai rintangan. Antara lain adalah krisis ekonomi dunia, asas perwakilan politik pelbagai kaum dan agama, kerakusan ramai calon pemimpin UMNO yang popular tetapi tidak berintegriti, golongan generasi muda yang menganggap UMNO sebagai parti dinosaur dan paling dahsyat adalah rasuah politik.

Oleh demikian pemilihan barisan kepimpinan UMNO serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada 25 Mac 2009 adalah suatu proses paling kritikal dalam sejarah penubuhannya.

Tetapi mungkin ramai perwakilan masih keliru dengan calon kepimpinan yang mana hendak dipilih.
Mengimbas kembali kata-kata Pengurus Kempen Barack Obama, Robert Fisk mengenai formula kemenangan mereka. Beliau menyatakan, presiden itu adalah pemimpin yang membawa harapan untuk “masa depan”.

Demi perubahan dan demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara, pilihlah dan sokonglah calon-calon pemimpin yang memberi harapan “masa depan” dan yang tiada kaitan dengan “masa silam”.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)



Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Feriz Omar menulis

PEMIMPIN MELAYU PERLU ‘KECERDASAN SPIRITUAL’ TINGGI
Laungan janji keramat Datuk Seri Najib Tun Razak-Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan terakhir Mesyuarat Agung UMNO untuk menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ bergema kuat sehingga menembusi dinding Dewan Merdeka di PWTC, melalui jalan-jalan kota raya, merentasi sungai-sungai, meredah belukar, mendaki bukit-bukau, melepasi lautan sehingga sampai ke pendengaran menusuk sanubari setiap orang Melayu dan orang Islam.
Sekalipun ia suatu janji yang belum lagi dikotakan, namun nada komitmen ke atas janji itu setidak-tidaknya memberi ‘harapan masa depan’ rakyat Malaysia secara keseluruhan.
NAJIB-MUHYIDDIN - PEMIMPIN PUNYA ‘SQ’ TINGGI
Seiring dengan artikel saya seminggu lalu yang menyentuh tentang “Strategi Blue Ocean – Formula Memulih Kembali UMNO”, Datuk Seri Najib berjanji akan mengembalikan kuasa akar umbi dengan mewujudkan hubungan harmoni ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ di luar jangkauan seperti mana di tahap Blue Ocean yang pasti tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.
Kebanyakan usaha yang disarankan beliau tertumpu untuk menarik semula generasi muda yang sebenarnya memenuhi 70 peratus pengundi Malaysia.
Golongan ini telah dikategorikan oleh beliau sebagai pencetus idealisme ekonomi, politik dan masyarakat. Golongan yang berpendidikan tinggi ini adalah pejuang-pejuang siber yang hebat. Golongan ini pernah dicantas daripada memegang jawatan dan diketepikan oleh sebilangan pemimpin UMNO sekalipun ikhlas berkhidmat.
Buat permulaan, UMNO akan menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi membincangkan cadangan syarat minimum kuota pencalonan bagi memudahkan laluan pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding.
Selain daripada itu, cadangan untuk menambahkan jumlah perwakilan sehingga mencapai jumlah 60,000 orang bagi memerangi gejala politik wang juga akan dibincangkan.
Cadangan-cadangan di atas menampakkan bahawa gandingan Najib-Muhyiddin telah melakukan homework untuk muhasabah diri serta menyahut jeritan Spiritual Quotient (SQ) atau Kecerdasan Spritual dalaman mereka. Sesungguhnya, SQ adalah suara hati yang jernih, tidak mungkin ditipu oleh sesiapa pun, termasuk diri kita sendiri dan sentiasa bertindak dengan penuh kesedaran.
Menurut kajian dalam buku Spiritual Intelligence – The Ultimate Intelligence, SQ kini telah dibuktikan sebagai kecerdasan ‘masa depan hakiki’ mengatasi Intelligent Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ) yang ditemui sekitar 1990-an.
Pengkajinya, Zohar dan Marshall mendefinisikan IQ seperti kecekapan, kecerdikan, dan berfikir secara logik komputer. EQ pula seperti reaksi haiwan yang bertindak mengikut persekitaran sekeliling. Manakala SQ seperti kebolehan untuk memalingkan pelbagai senario kehidupan ke arah psikologi ketuhanan, ini termasuk nilai-nilai Islam.
Kita mengakui bahawa psikologi sebilangan ahli UMNO masih cenderung ke arah kehidupan serba materialistik dan konsumerisme duniawi. Jikalau tidak, budaya menghalalkan cara politik wang tidak akan berlaku di tengah-tengah kemelut bangsa Melayu dan Islam yang memerlukan barisan kepimpinan UMNO berteraskan kearifan, kebijaksanaan dan kerohanian yang mana nilai-nilai ini adalah pegangan universal umat manusia.
‘DIPERHAMBAKAN’ PEMIMPIN
TIADA SQ
Isu terbesar dalam setiap Mesyuarat Agung UMNO adalah apabila beberapa pemimpin yang tiada nilai SQ sanggup menjual roh dan mengambil kesempatan menabur wang serta memanipulasi pemikiran perwakilan.
Tindakan penyogok politik wang itu seolah-olah merendahkan martabat sebilangan perwakilan UMNO sama seperti kelompok yang mudah ‘diperhambakan’, kelompok yang berpemikiran lemah, kelompok yang tidak yakin dengan Islam serta tidak takut dengan laknat Allah terhadap mereka. Lantaran sentiasa menawarkan diri untuk ditunggang dengan bebas sewenang-wenangnya.
Saya berharap saranan struktur Rakyat-Parti-Kerajaan dilaksanakan segera agar UMNO benar-benar wujud atas kekuatan akar umbi sekali gus membanteras gejala politik wang yang kian meruncing.
Sementara menantikan struktur perwakilan dan pemilihan UMNO itu menjadi realiti, kita perlu menjawab persoalan sama ada keputusan yang baru dibuat oleh lebih kurang lima ribu perwakilan UMNO, Wanita, Puteri dan Pemuda kali ini juga dipersetujui oleh lebih 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada Pilihan Raya Ke-13 nanti di mana sebahagiannya bakal kita temui dalam pilihan-pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009 nanti.
Saya ucapkan syabas kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, barisan Majlis Tertinggi UMNO, barisan sayap UMNO dalam Mesyuarat Agung 2009. Kami akan terus menyokong dari luar dan sedia bergerak masuk!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrkDXqj8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bank Idea Rakyat - pelengkap Satu Malaysia

DALAM suasana politik dan ekonomi Malaysia yang kian mencabar, tanggungjawab untuk memikul tugas negara tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta 69 ahli Kabinet sahaja. Ia juga adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh setiap rakyat yang ingin terus hidup aman makmur di tanah air tercinta, Malaysia.
Tatkala mencari jigsaw terakhir supaya rakyat dapat terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, Bank Idea Rakyat dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekilas pandang seperti cadangan yang simple (ringkas) namun secara praktikalnya, boleh diterima pakai sebagai mekanisme pelengkap serta mampu membuat perubahan 180 darjah terhadap senario politik dan ekonomi negara.
Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan hasratnya untuk mewujudkan sebuah kerajaan beraspirasikan di bawah konsep 'Satu Malaysia,' 'Rakyat Didahulukan,' Prestasi Diutamakan,' puas saya memikirkan pelbagai kaedah dan tatacara bagaimana konsep tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Struktur perwakilan baru UMNO yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas pada akhir tahun ini bakal menyaksikan jumlah perwakilan UMNO ditambah menjadi 60,000 orang dan kuota pencalonan dikecilkan.
Ini sudah cukup menggambarkan bahawa hala tuju parti tersebut mulai Perhimpunan Agung UMNO ke-59 nanti ditentukan menurut keperluan semasa rakyat, khususnya Melayu di dalam UMNO.
Mengikut penganalisisan saya, walaupun perwakilan seramai 60,000 orang itu adalah jauh lebih ramai berbanding jumlah asal lebih kurang 5,000 orang, ia hanyalah 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli UMNO yang kini sudah mencecah 4.0 juta orang.
Jika jumlah ini benar-benar mewakili 100 peratus suara ahli UMNO sekalipun, belum tentu ia mewakili 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti.
Walaupun demikian, saranan Najib-Muhyiddin adalah murni kerana struktur UMNO baru juga memberikan kuasa menghukum secara langsung kepada rakyat untuk tidak memanjangkan tempoh pentadbiran mana-mana pemimpin yang dirasakan gagal melaksanakan amanah secara berkesan.
Hakikatnya, sejauh manapun kita berhujah mengenai jumlah perwakilan baru UMNO, ia hanya bersangkut-paut dengan kaedah pemilihan pemimpin Melayu dari parti UMNO sahaja. Persoalan pemilihan pemimpin Melayu dan bukan Melayu dari parti-parti komponen BN yang lain serta kualiti perkhidmatan menteri-menteri Kabinet masih belum lagi terjawab.
Mungkin itu adalah antara alasan mengapa Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dilantik dan dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan prestasi Kabinet Najib-Muhyiddin dalam mencapai objektif sebenar konsep 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'.
Demi memperkukuhkan lagi struktur pentadbiran kerajaan, saranan seperti Bank Idea Rakyat perlu dilihat sebagai 'jantung utama' dalam pentadbiran yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi.
Ia bukan hanya bertindak sebagai jambatan di antara kerajaan dan 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti, malahan ia adalah bukti keterbukaan kerajaan dalam menerima pandangan, cadangan dan kritikan yang dibawa rakyat dalam pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum, kebajikan serta pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.
Ternyata Bank Idea Rakyat ini tidak boleh disamaertikan seperti tabung pengaduan awam yang dianggap sudah lama wujud sejak zaman 'dinasour' kerana ia bukan hanya mengambil kira aduan rakyat semata-mata tetapi juga pandangan serta cadangan rakyat terhadap sesuatu isu secara khusus.
Dunia hari ini yang berorentasikan kecanggihan ICT pasti boleh menampung cadangan Bank Idea Rakyat itu dalam bentuk sistem pungutan suara seperti Public Relations System atau Sistem Perhubungan Rakyat yang melibatkan dua komponen utama iaitu, rakyat yang memberi cadangan dan pandangan secara tulus ikhlas; dan kerajaan yang menangani cadangan dan pandangan rakyat secara telus dan terperinci.
Malaysia yang rakyatnya semakin bijak dan peka dengan ehwal semasa perlu diberi hak sama rata untuk bersuara.
Menurut statistik Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia pada Disember 2008, jumlah pengguna internet adalah lebih kurang 10 juta orang manakala jumlah telefon bimbit berdaftar pula adalah sebanyak 26.5 juta orang.
Dengan kedua-dua kekuatan ini, infrastruktur Sistem Perhubungan Rakyat dan jaringan rakyat-parti-kerajaan sebenarnya sudah sedia terbentuk. Bagi rakyat yang bukan pengguna internet mahupun telefon bimbit, di ruang inilah wakil-wakil rakyat memainkan peranan untuk bertindak selaku ejen kerajaan yang efektif dengan menganjurkan kaedah sistem pungutan suara rakyat secara manual.
Memang benar bahawa cadangan Bank Idea Rakyat akan menjadikan setiap unit struktur kerajaan kembali peka kepada jeritan suara rakyat. Namun, tunggak kejayaan kepada saranan mekanisme pelengkap itu juga bergantung kepada keberkesanan tindakan susulan yang akhirnya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam keputusan PRU-13.
Dengan penuh keyakinan dan harapan, semoga kerajaan sempat membuktikan keberkesanan tindakan susulan memandangkan PRU-13 bakal menemui kita kurang atau lebih tiga tahun dari sekarang.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive#ixzz3BrjItqNK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rugi Melayu tolak perpaduan, 1Malaysia


KETIKA pertama kali Datuk Seri Najib Tun Razak melontarkan idea tentang aspirasi 1Malaysia, pelbagai pihak dilihat cuba memberikan takrifan dan andaian terbaik mereka mengenai istilah berkenaan.
Bermula dari bual bicara pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan professional hinggalah ke cakap-cakap kedai kopi, segenap lapisan masyarakat bagai tercari-cari apakah intipati sebenarnya di sebalik konsep 1Malaysia.

Dalam begitu banyak teori yang dikemukakan, yang paling menyakitkan hati ialah andaian tidak bertanggungjawab beberapa pihak tertentu yang cuba menyamakan konsep 1Malaysia dengan perjuangan 'Malaysian Malaysia' dokongan DAP. Memang sah ia adalah suatu tuduhan yang berniat jahat bertujuan untuk mencalar imej kerajaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Melayu!

Sabtu lepas, setelah pelancaran logo dan lagu 1Malaysia, nampaknya masih ada sebilangan kecil masyarakat Melayu yang salah faham, ragu-ragu atau kabur dengan makna kepada saranan perpaduan melalui aspirasi tersebut.

Salah tanggap dan kekaburan sebegini banyak dipengaruhi oleh sikap orang Melayu sendiri. Antaranya, sikap yang berkecenderungan untuk memperoleh maklumat dari sumber yang tidak betul seperti laman-laman blog yang dikendali oleh bloggers yang buta hati dan jiwa yang murni.

Bukankah media-media perdana dan laman-laman web kerajaan sudah pun memberi informasi tentang hal ini dengan cukup terperinci.

Sudah sampai masanya, masyarakat Melayu merujuk kepada media-media perdana dan jika perlu, media alternatif yang menganjurkan kupasan pemikiran yang 'bebas', matang lagi mementingkan keharmonian rakyat dan bukannya melayan hujah-hujah beremosi.

1Malaysia hanyalah satu 'aspirasi' yang dicetuskan untuk mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah asas pembentukan senario kehidupan yang harmoni dan memupuk semangat erat seiring dengan kehendak prinsip Rukun Negara.

Terdapat lapan penerapan nilai murni di bawah 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Sewaktu pertama kali slogan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' dilaungkan, Perdana Menteri sengaja mahukan seluruh rakyat Malaysia terlibat sama dalam menterjemahkan aspirasi tersebut.

Kita akui bahawa Wawasan 2020 sudah pun menjadi wawasan jangka masa pendek kerana ia bakal menemui kita beberapa tahun lagi. Malaysia hari ini perlukan suatu wawasan, visi dan misi baru yang berterusan.

Di atas kesedaran ini juga, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sepatutnya mula menunjukkan gerakan-gerakan positif untuk bersatu padu dalam menentukan wawasan visi dan misi negara yang baru.

Nampaknya bagi bangsa Melayu, keutamaan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa dan agama sendiri bukan menjadi keutamaan. Sebaliknya, dalam isu Pas menolak usul perpaduan ummah UMNO-Pas yang kian memuncak, falsafah politik pula yang didahulukan sehingga meranapkan hak Melayu untuk menentukan hala tuju negara dalam menetapkan visi dan misi memajukan bangsa dan agama.

Begitu juga mengenai dakwaan yang mengatakan 1Malaysia bakal menindas nasib orang Melayu dan hak Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Asas kepada dakwaan ini, konon-kononnya ialah tindakan kerajaan yang memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) sedangkan hal yang sebenar ialah fungsi MeCD sudah pun diserap sepenuhnya ke Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan menambah kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Dasar afirmatif yang bersifat menolong kaum Bumiputera sebetulnya tidak pun disentuh, malah bakal dilaksanakan dengan lebih telus.

Konsep 1Malaysia yang 'sebenar' ternyata bertujuan baik demi keharmonian pelbagai ras dan keturunan di Malaysia. Melalui nilai murni 'Penerimaan', masyarakat Malaysia dituntut agar menerima perbezaan kaum dan agama.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya perspektif perpaduan negara diubah berbanding sekadar bertoleransi sebelum ini. Sikap sebegini membuat kita maju setapak ke hadapan kepada rasa hormat dan saling menerima.

Justeru, 1Malaysia sepatutnya menjadi ruang di mana masyarakat Melayu melupakan agenda politik buat sementara dan berpadu demi menyokong agenda perpaduan nasional. Ambil iktibar daripada kaum Cina di Malaysia, yang mana sekalipun wujud beberapa entiti politik yang menjaga kepentingan orang Cina, badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Dong Zhong dan Shiu Qiu sentiasa menjadi tempat kaum Cina menyatakan kesatuan pendapat mereka.

Orang Melayu sajalah yang nampaknya begitu berpecah bagaikan tiada langsung titik temu hingga kini. Inilah punca kepada komentar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang begitu kecewa dengan kegagalan perpaduan Melayu Pas dan UMNO bersatu baru-baru ini.

Saya menyeru seluruh umat Melayu menyokong aspirasi 1Malaysia yang dibawa oleh Najib dan melupakan perbezaan yang ada buat seketika demi kepentingan negara. 1Malaysia hakikatnya adalah rangkuman kepada elemen fundamental yang cukup perlu bagi merealisasikan cita-cita Wawasan 2020.

Seperti golongan Yahudi yang menetapkan cita-cita 100 tahun untuk kembali dan menguasai Baitulmaqdis, hendaknya orang Islam di Malaysia juga tidak perlu ralat untuk bersatu hati, mengejar wawasan yang sudah sedia termaktub ini.

Ayuh, mari kita terjemahkan konsep perpaduan 1Malaysia dan tentukan misi dan visi negara!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Politik sukan 'sekat' kejayaan negara

UCAPAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis makan malam tahunan anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini membuktikan bahawa negara sentiasa mengenang jasa-jasa atlet yang telah mengharumkan nama negara melalui pelbagai cabang sukan di peringkat antarabangsa.
Galakan dalam bentuk insentif pembakar semangat, hadiah dan anugerah kecemerlangan sentiasa dihulurkan. Itu belum lagi mengambil kira pelbagai kemudahan infrastruktur yang terus-menerus dibangun serta dimodenkan kerajaan.
Pada majlis itu, jasa-jasa atlet yang telah bertungkus-lumus sehingga meraih kejayaan membanggakan di Sukan SEA Laos baru-baru ini diiktiraf melalui siri anugerah 'Olympian of the Year' anjuran Coca Cola-MOM.
Apa yang menarik dalam majlis makan malam tahunan MOM pada Sabtu lalu, Muhyiddin yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet yang menguruskan hal ehwal pembangunan sukan negara dan kedudukannya sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan sewaktu kemuncak pencapaian Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, sememangnya layak dalam menampilkan dirinya sebagai satu-satunya pemimpin yang tegas dan jujur dalam menyampaikan pandangannya mengenai status sukan negara yang kian merudum.
Kalau hendak berdasarkan kutipan pingat, sememangnya jumlah kutipan pada temasya kali ini tidak 'semeriah' berbanding edisi terdahulu. Apatah lagi apabila jumlah acara dipertandingkan tidak sebanyak temasya-temasya sukan yang terdahulu.
Namun dalam sukan tertentu, kita berjaya beroleh kejayaan luar jangkaan. Bola sepak sebagai contohnya, berjaya mengakhiri kemarau pingat emas 20 tahun yang kemanisannya dikongsi bersama oleh peminat-peminat setia. Pasukan badminton wanita turut meraih emas pertama setelah 34 tahun menanti. Kategori renang, kita terus-menerus dibanggakan dengan pencapaian generasi pelapis seperti Daniel Bego.
Namun agak mendukacitakan pula ceritanya dengan skuad sepak takraw negara. Tatkala Thailand dilihat sebagai kuasa besar kekal dalam sukan tersebut, Malaysia kini dilihat 'semakin' sebaris dengan pasukan seperti Myanmar. Demikianlah cerita jatuh bangun sukan-sukan tanah air dalam temasya yang mula disertai Malaysia seawal 1959 (ketika itu Sukan SEAP).
Merumus pencapaian atlet negara sepanjang tahun 2009, kita tentulah harus berasa bangga. Namun dalam masa yang sama, ruang-ruang untuk dikemas kini, pembaharuan dan pembetulan mestilah jangan diabaikan. Proses kecemerlangan mutu sukan seharusnya bersifat istiqamah. Sekiranya kita lewa, alamatnya akan ketinggalanlah kita kerana negara-negara lain pun tentulah akan mengambil pendekatan yang sama dan jika tidak teliti dan peka, pasti kita akan terpaksa back to square one!
Antara sikap atlet yang kita harus terus-terusan semai adalah 'mentaliti atlet kelas pertama' yang mengutamakan kejayaan dahulu dan bukan ganjaran. Hargailah susah payah kerajaan yang membina pelbagai fasiliti sukan terbaik yang mana 'ongkosnya' pula datang daripada jerit-perih rakyat si pembayar cukai!
Dalam pada itu juga, jika prasarana dan infrastruktur state-of-the-art sahaja yang canggih dan gah tetapi mutu pengurusannya entah ke mana, tentulah tidak berguna juga. Saya masih teringat bekas jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari yang pernah menyindir kualiti padang di Stadium Bukit Jalil suatu ketika dahulu yang disifatkannya 'boleh menyebabkan pemain tercedera'. Pada masa yang sama, pihak pengurusan boleh mengambil kira bagaimana kemudahan-kemudahan ini agar turut dapat digunakan untuk manfaat masyarakat.
Sementara itu, kemelut perbalahan yang menghantui beberapa persatuan sukan dilihat turut mempunyai pengaruh besar terhadap mutu atlet ketika acara-acara penting. Justeru, pengurusan sukan perlulah kembali kepada sikap profesional dan niat yang ikhlas demi kemajuan sukan tersebut.
Begitu juga dalam keadaan yang mana hari ini secara rata-rata semua perbelanjaan sukan ditanggung kerajaan bukan seperti dahulu di mana masing-masing terpaksa mengemis untuk bantuan kewangan. Sepatutnya kemajuan sukan negara lebih baik dari dahulu dan bukan sebaliknya. Dalam senario hari ini, persatuan-persatuan sukan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan sukan negara dan bukan bertegang urat serta tidak mahu duduk semeja dengan kerajaan. Mereka perlu ingat bahawa jatuh bangunnya persatuan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada 'kebijaksanaan' mereka mengatur cara dan berbudi bahasa.
Dalam lain hal pula, setiap persatuan sukan memerlukan sokongan akar umbi yang kuat. Politik dalaman perlu dihindarkan. Sudah sampai masanya persatuan-persatuan sukan mencontohi semangat perubahan yang dianjurkan oleh UMNO dalam Perlembagaan organisasi. Sistem pemilihan yang kononnya berfalsafahkan 'demokrasi' perlu dikaji semula. Jumlah perwakilan yang berhak mengundi perlu diperbanyakkan agar peneraju dan barisan saf pertama benar-benar mendapat sokongan seramai mungkin keahlian dari seluruh pelosok negara.
Jika tidak, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang digarap kerajaan perlu digunakan sebagai panduan teras yang boleh digunapakai oleh persatuan-persatuan sukan dalam menyelaraskan kedudukan persatuan agar kembali berkesan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negara.
Tahun ini, kalendar sukan negara sudah teratur dengan pelbagai acara dan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel, Piala Thomas dan Sukan Asia. Kita sebagai rakyat yang juga pembayar cukai akan terus-menerus memberi sokongan padu terhadap apa jua usaha kebaikan dan pembangunan sukan negara. Semoga martabat sukan negara akan terus-menerus dijulang setinggi-tingginya! Majulah Sukan Untuk Negara!
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrXkc4CV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Web 2.0 meremajakan hubungan rakyat

KELAHIRAN media baru dalam bentuk blog dan laman web persendirian sebenarnya bukanlah suatu senario asing dalam dunia komunikasi terkini. Namun demikian dalam konteks Malaysia, fenomena lonjakan popularitinya semakin menjadi-jadi sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.
Masyarakat dilihat mula mengalihkan tumpuan dan berpusu-pusu ‘terjun’ ke medan siber untuk mendapatkan pelbagai informasi sebelum membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Lantaran itu, pelbagai kelompok ‘penulis’ daripada golongan anak muda dan ahli-ahli parti politik ‘sakan’ mengambil peluang untuk meluahkan pendapat dan berkempen mengikut cita rasa tersendiri di alam maya. Papan kekunci menjadi pengganti mata pena dan buah pemikiran pula diluahkan di ruangan blog, laman web dan melalui aplikasi Web 2.0.
PERANG SARAF POLITIK ALAF BARU
Sebenarnya, sebelum PRU-12 lagi ‘perang saraf politik’ alaf baru melalui media siber (blogger, website dan forum) sudah pun tercetus.
Menurut kajian sebuah institusi pengajian tinggi, ketika PRU-12, pejuang-pejuang siber pro-kerajaan mungkin sedikit terlewat menyusun strategi untuk ‘menghunus senjata’. Justeru, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh mereka dalam membaik pulih pelbagai isu dan masalah kredibiliti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang sehingga pelbagai dakwaan karut pembangkang dilihat seolah-olah ‘tepat dan betul’ oleh sebahagian besar rakyat.
Apa yang menjadi persoalan adalah sama ada pendekatan dan strategi ‘perang saraf politik’ alaf baru melalui media siber yang dilaksanakan ketika ini sudah menampakkan kesan positif? Saya amat setuju dengan beberapa pendekatan yang sedia terlaksana tetapi kebanyakannya belum menampakkan kesan yang begitu signifikan.
Yang perlu dipantau adalah beberapa budaya negatif pejuang siber yang boleh merosakkan grand design perancangan menghadapai PRU13.
Antara lain adalah pendekatan serangan overkill melampau yang digunakan sesetengah bloggers yang bertindak ke atas musuh sehingga memberikan imej buruk kepada komuniti pro-kerajaan dan parti kerajaan yang sebenarnya tidak bersalah!
Begitu juga dengan kesan negatif yang timbul ekoran daripada melularnya budaya untuk meletakkan ‘kasta’ di kalangan komuniti bloggers. Budaya ini perlu dielakkan kerana jika tidak ia akhirnya akan memecah belahkan angkatan pejuang siber yang kini disatukan di bawah satu matlamat dalam berdepan dengan cabaran PRU13.
PARTI PEMERINTAH PERLU ‘TAKTIKAL’ BARU
Masa berubah dengan pantas. Justeru, parti pemerintah juga sepatutnya tidak boleh kekal dengan ‘taktikal’ sama dan hanya asyik mengharapkan para bloggers yang kebanyakan mereka sembunyi di belakang nama-nama samaran untuk berjuang ‘sendirian’ di dunia maya!
Rebutlah peluang untuk mendekati rakyat di dunia siber kerana teknologi sememangnya sudah sedia ada dan terhidang di depan mata!
Baik Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan juga keseluruhan jentera parti pemerintah peringkat negeri mahupun kawasan perlu menerima hakikat bahawa fenomena ‘web 2.0’ adalah satu-satunya infrastruktur untuk meluaskan pengaruh, membina imej ‘merakyat’ dan sekali gus membuktikan keikhlasan berkhidmat pada nusa dan bangsa.
Wujudkan akaun-akaun di laman web social networking popular di Malaysia. Social networking melalui Facebook, Youtube, Friendster (dahulunya paling popular) dan MySpace mesti ‘diterokai’. Facebook dikatakan mempunyai sekitar 250 juta pengguna seluruh dunia dan YouTube mencatatkan purata video streaming 1.2 bilion dalam sehari!
Dengan mewujudkan akaun-akaun di laman web social networking secara tidak langsung mewujudkan kelab peminat di dunia maya.
Selain itu, sensasi ‘Web 2.0’ seperti Twitter, Blogspot, Wordpress, Flickr, LinkedIn, Digg, LiveJournal, Imeem, YouTube, Tagged, Orkut, PhotoBucket dan Multiply perlu diteliti dan dipergunakan sebaik-baiknya.
Sebagai contoh, calon kerusi Presiden Iran, Mir Hossein Mousavi menggunakan ‘strategi Twitter’ untuk menyebarkan ucapan-ucapan kempennya !
LAMAN SESAWANG CHE DET,
1MALAYSIA DAN MY-MALAYSIA
Memiliki laman blog dan web peribadi juga akan membolehkan akses dua hala dengan rakyat berlaku lebih segera dan tanpa protokol. Sebagai contoh, laman blog Tun Dr. Mahathir, dikatakan laman blog paling popular di Malaysia! Begitu juga laman web 1Malaysia yang memberi peluang kepada rakyat mendekati idea Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terbaru, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah melancarkan laman webnya sendiri di www.my-malaysia.com.my sebagai suatu usaha mendekati rakyat. Namun yang unik di sini, inisiatif laman web beliau datangnya daripada kumpulan penyokong beliau sendiri!
Pemimpin-pemimpin kerajaan boleh memperuntukkan walaupun sekadar 15 minit sehari untuk ‘bersama rakyat’ di dunia siber melalui interaksi chatting. Paling tidak pun, apa salahnya jika sesekali menghubungi terus rakyat melalui talian telefon jika nombor perhubungan diberikan?
Bayangkan, melalui sentuhan Web 2.0 ini, masalah setempat yang kecil pasti boleh diselesaikan segera. Pada masa yang sama ia menunjukkan keberhasilan komunikasi berkenaan. Begitu juga jika terdapat idea-idea menarik daripada rakyat pula, ia tentu boleh diketengahkan.
Dengan wujudnya peremajaan hubungan terus secara top-down approach, ia secara tidak langsung menjurus kepada pengwujudan Bank Idea Rakyat secara maya yang akan meningkatkan lagi imej kerajaan di kalangan rakyat marhain !
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrWMfTKh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Free Gaza