Tuesday, August 26, 2008

Iktiraf Ini Bumi Melayu

Berita Terkini Friday 15 August 2008 - 16:02:47

Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam Malaysia dan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim membuka ruang bagi kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM terus mencetuskan gelombang kemarahan masyarakat Melayu negara ini.

Photobucket

Khamis bertempat di Dewan Intekma UITM Shah Alam lebih 500 pelajar ahli GPMS cawangan UITM Shah Alam mendengar ucapan panas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi majlis perasmian Himpunan Pelajar Melayu Merdeka anjuran GPMS.

Photobucket

Mereka disertai Timbalan Naib Canselor UITM Datuk Seri Ibrahim Abu Shah, Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Pengerusi Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) Datuk Abdul Rahman Palil.

Photobucket

Zahid dengan tegas memberi amaran agar tidak menguji 'amuk' orang Melayu, jangan soal kedudukan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

Photobucket

"Hentikanlah mempertikaikan hal itu, samada ianya dari orang Melayu sendiri ataupun bangsa lain kerana dua perkara itu kita tidak boleh kompromi," katanya.

Photobucket


Menurutnya, apabila orang Melayu disentuh tentang soal Islam, ianya telah menyentuh hati nurani orang Melayu kerana orang Melayu itu Islam dan Islam itu adalah Melayu di Malaysia."

Kata Zahid, "keharmonian harus diwujudkan, kesefahaman yang ada dalam politik, sosial dan pendidikan, ianya harus diterjemahkan dengan baik dan saya harap hentikanlah kerana orang Melayu tidak mahu menggunakan istilah 'amuk' semula sebagai termaktub dalam kamus Oxford dan kamus-kamus yang lain."

Semasa ditanya wartawan di luar dewan mengenai isu-isu tersebut dibangkitkan kerana kelemahan pemimpin Melayu, Zahid menafikannya tetapi menganggap ada pihak yang mencari ruang kosong untuk menikam orang Melayu dari belakang.

"Saya tidak mahu ada pemimpin Melayu digunakan oleh orang lain untuk menikam bangsanya sendiri, ini harus ada kesedaran daripada kita (orang Melayu)", tegasnya.

Mengulas kebangkitan orang Melayu ekoran isu-isu terkini, Zahid menyeru semua pihak tanpa mengira batasan politik Melayu Islam tetapi semua NGO dan institusi Melayu Islam harus bersatu sebab maruah serta status mereka telah disentuh samada dikalangan orang Melayu atau bukan Melayu.

Kita harus pertahankan, tidak ada kompromi," tambahnya. Dalam isu UITM, Zahid lebih suka Menteri Besar Selangor itu tidak minta maaf kerana pemimpin itu harus bertanggungjawab terhadap apa yang diperkatakan.

Menurutnya, Khalid menyalahkan media dalam perkara ini tanpa beliau sedar bahawa sebagai pemimpin apa yang terlontar dari mulutnya adalah pertanggungjawapannya dan jangan salahkan media.

Kata Zahid, "kita tidak mahu menafikan hak bangsa dan kaum lain, itu juga hak yang termaktub dan kita tidak mahu menyentuhnya, bagaimana kita tidak mahu orang menyentuh hak kita."

Di awal ucapan Zahid memetik ungkapan mantan Presiden MIC merangkap Menteri Kerjaraya Pos dan Telekom mendiang Tun VT. Sambathan di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965 "… Saya bernasib baik dilahirkan di negara ini, dimanakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain dari bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapatkan layanan politik yang baik untuk kaum pendatang, di manakah dalam sejarah dunia…"

Zahid meminta semua pihak merenungi ungkapan itu yang merupakan mukkadimah untuk memperlihatkan betapa pemimpin-pemimpin bangsa lain yang pernah menjadi tonggak kemerdekaan Malaya ketika itu kepada Persekutuan Tanah Melayu dan mencatatkan dalam sejarahnya bahawa bangsa Melayu adalah bangsa induk yang bersopan santun dan menerima bangsa lain untuk jadi warga negara Malaysia.

"Saya tidak faham, kalau pemimpin bangsa lain boleh menghargai bangsa Melayu tapi mutakhir ini ada pemimpin bangsa Melayu yang menjolok 'sarang tebuan' kepada orang Melayunya sendiri," katanya.

Menurut Zahid, UITM telah diwujudkan kerana mahu memartabatkan Melayu dan atas sebab Melayu tertinggal maka kewujudannya telah dapat menyamatarafkan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain di negara ini. Dengan mendapat tepukan gemuruh dan bersemangat dari para pelajar, Zahid menegaskan,"ini adalah soal maruah kita…ini bukan soal keistimewaan yang ada dalam perlembagaan, ini hak kita tanpa kita mengenepikan hak bangsa atau warga negara lain…ini hak kita, jangan sesiapa yang cuba menganggu-gugat Perkara 121 dan Perkara 153 dalam perlembagaan."

"Saya lihat pertama kali dalam sejarah politik tanahair semua pemimpin di dalam kepelbagaian parti politik dan NGO bersatu padu atas nama agama dan bangsa kerana kita tidak mahu ada orang lain mempertikaikan hak kita yang telah dipersetujui sebagaimana telah disebut oleh Tun Sambathan dan pemimpin-pemimpin lain, mereka ini pemimpin yang bertopengkan kekucing kurapan yang tidak pernah tahu sejarah," katanya.

Katanya,"kalau bukan bangsa Melayu yang jadi pemimpin jangan harap pemimpin-pemimpin itu, pertubuhan NGO itu menjadi profesional sebagai peguam. Kalau bukan kerana sopan santun orang Melayu, jangan harap ada peluang pendidikan diberikan pada mereka, jangan harap ada peluang ekonomi pada mereka… atas nama orang Melayulah mereka dimakmurkan dan diberikan kuasa politikdi negara ini. Tapi jangan, apabila betis telah diberi ianya sudah mula naik ke paha."

"UITM tidak ada agenda tersembunyi, ianya telah menterjemahkan apa yang tersirat dan tersurat untuk orang Melayu tanpa UITM tidak ada ramai professional Melayu yang akan menggerakkan dan memperkasakan ekonomi di Malaysia ini, hanya UITM menjadi wadah utama untuk memprofesionalkan orang Melayu di negara kita ini," katanya.

Beliau seterusnya mahu orang Melayu melihat bahawa terdapat duri dalam daging yang perlu dicabut kerana telah membusukkan orang Melayu.

"Jangan ajak orang Melayu mengamuk dan jangan ajar orang Melayu seperti 'Harimau yang makan daging', jangan sesiapa yang cuba menjolok sarang tebuan dan jangan sesiapa yang cuba bermain api dengan bangsa Melayu. Dan 'amuk' ini ada dalam darah orang Melayu tanpa diminta oleh sesiapa pun. Melayu akan mengamuk bukan dengan tidak ada emosi dan tidak ada inti intelektual tetapi itu sifat orang Melayu," kata Zahid.

"Jangan suruh orang Melayu mengamuk kerana apabila haknya dicabar, apabila maruahnya digadai maka orang Melayu akan menterjemahkan 'amuk' itu dalam makna yang sebenarnya. Saya harap bukan sekadar 5000 orang pelajar UITM berarak, saya mahu 200 ribu siswa dan siswi UITM agar bangun dan memperlihatkan pada mereka bahawa kita tidak boleh diperkotak-katikkan. Jiwa saya adalah jiwa Melayu yang tidak boleh dirobak-rabikkan semangatnya." ujarnya.

Sebelum Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya mengakui bahawa GPMS adalah badan milik Melayu yang memperjuangkan pendidikan anak-anak Melayu.

Beliau menegaskan tindakan sesetengah pihak yang menyentuh hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan telah menimbulkan keresahan orang Melayu dan membangkitkan suasana 'marah' yang boleh meletuskan keadaan tidak tenteram dalam negara.

Reezal memberitahu para pelajar bahawa ketokohan Zahid perlu dicontohi kerana berani tampil ke depan dalam membela dan menyuarakan rasa resah gelisah orang Melayu dan Islam apabila perkara-perkara seumpama itu disentuh.

Reezal berkata, "dalam soal pendidikan dan martabat darjat orang Melayu, kepentingan orang Melayu dan hak-hak tertentu yang termaktub dalam perlembagaan, jangan sentuh…iktiraf ini bumi Melayu, iktiraf hak orang Islam dan iktiraf bahawa hak orang Melayu oleh bukan satu tapi semua kaum di negara ini".

"Semua kaum kena bersatu, tetapi pengiktirafan telah diberi dahulu bahawa ini bumi Melayu, fitrahnya ini tanah Melayu, penduduk yang ramai di sini komposisinya orang Melayu, hak keistimewaan orang Melayu telah dijanjikan termaktub serta dipersetujui, soal hak agama Islam dan keistimewaan akta-akta tertentu telah diputuskan dan jangan lagi disentuh, jangan diungkit-ungkit dan jangan dibuat atas nama apa jua pun ikon termasuk ikon akademik, kita tidak boleh terima kerana ianya mengundangkan perasaan yang cukup-cukup resah dikalangan orang Melayu." ujarnya.- 14/8/2008

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.


Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.



Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Free Gaza