Wednesday, January 27, 2010

STRATEGI DAN DASAR PERJUANGAN GPMS SESI 2009 – 2012


1.       Hala tuju perjuangan adalah berdasarkan kepada tiga perkara berikut:

I.                     GPMS memperjuangkan Melayu di atas dasar Non-Partisan
II.                   GPMS gedung melahirkan pemimpin negara
III.                  GPMS di peringkat cawangan adalah tunggak perjuangan ini yang akan diperkasakan.

2.       Cogan kata yang memperlihatkan kelantangan dan keberanian GPMS ialah:
GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA



3.       Sebuah Panel Pemikir yang akan memberi idea dan pandangan terhadap fungsi GPMS ditubuhkan khusus dan dianggotai oleh pencinta perjuangan ini yang berumur di atas 40 tahun.

4.       GPMS akan memberi fokus utama terhadap pelbagai isu pendidikan yang berkaitan pelajar Melayu melalui kaedah konsultatif dan perbincangan dengan pihak kerajaan. Disasarkan sekurang-kurangnya membincangkan 10 isu setahun sebagai penanda aras.

5.       Melantik 6 orang AMT tambahan mengikut komposisi negeri dan 10 orang Pegawai Khas Presiden yang terdiri daripada penggerak muda yang berpotensi bagi membantu Presiden melaksanakan dasar dan strategi ini.

6.       Perlembagaan GPMS akan dipinda dengan segera mengikut kehendak ahli dan kepentingan semasa.

7.       Menetapkan tempat dan pengerusi Persidangan Agung GPMS untuk tahun 2010, 2011 dan 2012 bagi melancarkan perlaksanaannya dan persediaannya dapat dilakukan dengan lebih awal.

8.       Melaksanakan semua usul-usul dalam PAT sebelum ini yang tertunggak beserta usul-usul yang terkini.

9.       Biro-biro yang ditubuhkan di dalam GPMS mestilah pelbagai dan terkini menjurus kepada pendidikan.

10.   Menginstitusikan jawatan Penaung GPMS kepada Perdana Menteri Malaysia, Ketua Penasihat GPMS kepada Timbalan Perdana Menteri dan panel penasihat mestilah terdiri daripada mantan Presiden GPMS yang masih hidup sebagai penghormatan besar kepada mereka.

11.   Dasar media yang telus dan terkawal dengan mandat yang jelas kepada Presiden dan Setiausaha Agung bagi isu di peringkat pusat. Pengerusi negeri dan YDP Cawangan boleh bercakap tentang isu setempat manakala semua ahli yang melaksanakan program boleh mempromosi program di media dengan sebebas-bebasnya.



12.   GPMS hanya akan mengeluarkan kenyataan akhbar dan membincangkan isu-isu yang relevan dengan perjuangannya dan mengelakkan diri terutamanya dalam isu yang berkaitan serta berbaur politik bagi mengekalkan matlamat penubuhan GPMS.

13.   GPMS akan menubuhkan GPMS Holdings Sdn. Bhd. dan Tabung Amanah Pelajar 1Malaysia untuk mendapatkan dana bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti. Memeterai beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian yang dapat memberi manfaat kepada GPMS dan pelajar Melayu amnya.

14.   Program Kad Keahlian GPMS akan diperkemaskan segera dan mensasarkan 50,000 keahlian baharu pada setiap tahun 2010, 2011 dan 2012.

15.   Menjadikan Ibu Pejabat GPMS Kebangsaan dan Pejabat GPMS Negeri di seluruh negara sebagai Pusat Khidmat Pendidikan Pelajar Melayu.




16.   GPMS Negeri dibenarkan bekerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing tanpa mengira parti demi kepentingan pelajar Melayu.

17.   GPMS akan mengadakan pelbagai kunjungan hormat bertemu pemimpin dan pencinta perjuangan Melayu demi mendapatkan ilmu serta pandangan yang bermanfaat.  
  
18.   Menggalakkan lawatan ilmiah ke luar negara bagi mendapatkan idea dan pengalaman baru. Di samping itu dapat mengadakan perbincangan dengan pelajar Malaysia di sana untuk menerangkan isu-isu semasa.


19.   Program Sembang Intelektual / Kunjungan Hormat bersama tokoh dalam formulasi Strategi Melayu akan diperbanyakkan.

20.   Berusaha mendapatkan Pingat Kebesaran dari YDPA untuk bekas-bekas Presiden dan Setiausaha Agung GPMS yang masih hidup sebagai tanda penghargaan terhadap jasa perjuangan mereka

21.   GPMS akan memperkasa modul dan melahirkan penceramah yang mahir dalam motivasi yang berfokus kepada 6 aspek iaitu: (i) Motivasi dan Teknik Belajar berkesan, (ii) Motivasi Kepimpinan, (iii) Motivasi dan Petua Menghadapi Peperiksaan (iv) Motivasi Sukan (v) Motivasi Keusahawanan. (vi) Motivasi Guru dan Ibu-Bapa

22.   Menerbitkan pelbagai buku yang berkaitan pendidikan (10 buah buku sebagai penanda aras).

23.   GPMS menggalakkan pemimpin-pemimpinnya menggembangkan bakat kepimpinan di dalam Majlis Belia Daerah / Kawasan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Malaysia. Manakala, GPMS di semua IPT digalakkan untuk menyertai Pilihanraya Kampus masing-masing untuk membuktikan keberkesanan Sistem Latihan Perkaderan dan Kepimpinan GPMS.



24.   Menonjolkan ikon Pelajar Melayu sebagai model kehebatan yang boleh dicontohi dengan kerjasama pelbagai agensi terutamanya dengan Program Permata Pintar.

GPMS akan membantu pelajar yang telah tamat peperiksaan utama di sekolah untuk melanjutkan Pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan kaedah dan strategi yang tersendiri

Tuesday, January 12, 2010

DAULAT TUANKU! SULTAN SELANGOR TITAH, ALLAH HANYA UNTUK ISLAM SAHAJA!


SHAH ALAM 11 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.

Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.

“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini hari ini.

Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).

“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menetapkan Islam Agama Rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.

Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.

Free Gaza