Thursday, June 4, 2009

Fikir Langkau '10': Pandangan GPMS

Fikir Langkau '10'Kita kena mengakui satu perkara, bahawa pembangunan minda, pemikiran dan jatidiri di kalangan anak muda kita - mesti disesuaikan dengan zaman mereka. Kita tidak seharusnya mempersiap mereka untuk persaingan 'abad, dekad mahupun dasawarsa' kita dahulu. Memahami realiti global, soal pendidikan dan potensi sudah menjadi perkara yang sangat teras. Gagal merencana potensi yang kukuh di kalangan warga penerus, bererti kita menempah jalan yang susah dalam menempuh keluk perubahan.Semua ini membuatkan penulis terfikir tentang kepentingan 'pendidikan' untuk menjadi asas kegemilangan bangsa di masa akan datang. Sesuai dengan matlamat mencapai negara maju pada tahun 2020, 'asas pendidikan' menjadi sangat utama dan wajar diangkat sebagai prioriti. Kita tidak boleh lagi terus bergelumang dengan usaha 'perubahan kecil' (piecemeal changes) tetapi lebih tertumpu dengan strategi membina warga pelajar yang berkemampuan dan berkemahiran tinggi di peringkat yang lebih besar. Fokus dan arah tumpuan semua pihak mestilah menjurus bukan sahaja kepada pembinaan infra; tetapi juga persoalan 'pembinaan kemahiran' (capability development) dan 'strategi manusia' (people strategy).Penulis dihubungi oleh seorang rakan berstatus 'ustaz' dari pantai timur yang menyatakan kerisauan dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)mengehadkan 10 subjek untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan semua anaknya yang berada di aliran agama, rakan penulis sekadar menyatakan apakah ini memberi erti anaknya tidak boleh mengambil lebih daripada 10 subjek? Apa jadi dengan subjek agama yang dipelajari anaknya selama ini? Apakah ianya tidak mempunyai nilai langsung kepada pihak kerajaan? Penulis beranggapan persoalan yang dikemukakan rakan penulis tadi adalah soal 'mekanisme' yang perlu diperkemaskan dalam kita menuju denai kemajuan. Bagi kalangan anak-anak yang sudah sedia berada di aliran agama, proses pencarian ilmu (knowledge seeking) tidak perlu berhenti dengan arahan pihak kementerian. Hakikatnya, asas keputusan KPM adalah di atas jalur masalah yang berbeza. Dengan ketidakwujudan 'had' dalam pengambilan subjek, wujud 'kelebihan' tertentu yang diperoleh mereka yang mendapat belasan malahan puluhan 'A'. Ini akhirnya akan mengundang permasalahan dalam penganugerahan biasiswa. Apatah lagi apabila kalangan anak-anak yang bersekolah asrama penuh tidak dibenarkan mengambil subjek yang berlebihan. Apakah belasan/puluhan 'A' ini mampu menjelmakan kecemerlangan sebagai seorang individu dan berjatidiri - adalah soal yang cukup berbeza.Yang tentu, kita mesti berusaha untuk mencari solusi yang bersifat besar dan menyeluruh. Kita memerlukan strategi pembangunan modal insan yang lebih strategik dan bersesuaian dengan 'abad ini'. Sebaiknya, polemik 10 atau lebih daripada 10 - mesti diberikan penelitian yang lebih bersifat futuristik dan mesra rakyat. Hakikatnya, rakyat menginginkan model pendidikan yang mampu bersaing dengan negara yang lebih maju. Justeru, usaha 'pembatasan potensi' bukanlah sesuatu yang sangat diterima baik.Penulis lebih gemar jika kita mengambil contoh daripada Negara rakan yang lebih maju dan sedikit terkehadapan dalam soal pembinaan potensi warga. Negara yang tidak punya pilihan, tetapi melihat soal 'modal insan' sebagai teras yang tidak boleh sama sekali diketepikan. Negara yang tidak punya modal lain - sekaligus menatang potensi warga yang lebih seimbang dan mampu bersaing di pentas antarabangsa. Ini semua memerlukan 'jiwa dan dada yang lapang'; sekaligus melihat apa 'hasil' yang mereka peroleh dengan tindakan, polisi dan dasar yang sedemikian sifatnya.Untuk itu, penulis amat tertarik dengan kewujudan 'Gifted Education Program' (GEP) yang dilaksanakan di Singapura. Rasional daripada pelaksanaan GEP ini adalah sememangnya wujud di kalangan anak-anak kita yang diberikan 'kelebihan' tertentu untuk menerima pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi daripada rakan sebayanya. GEP menerima hakikat bahawa 'potensi' tidak sewajarnya dibatasi oleh 'sistem' yang terlalu ketat dan mendesak. Mereka yang mampu dan terbukti mempunyai wibawa mengurus masa dan kemahiran pendidikan yang lebih tinggi - mesti dibenarkan berada di dalam 'arus pendidikan' yang bersesuaian itu. Keterbatasan potensi tidak harus wujud dalam apa bentuk sekalipun.Ruang dan potensi GEP ini disaksikan sendiri oleh isteri YAB Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke National University of Singapore (NUS) High School of Mathematics and Science dalam lawatan yang berlangsung baru-baru ini. Anak-anak yang masih muda diberikan pendedahan filosofi matematik dan sains yang jauh terkehadapan. Minda, potensi dan bakat anak muda ini diasuh dengan sebegitu rupa, agar mereka inilah yang bakal menjadi kalangan saintis dan pemikir yang boleh kembali menyumbang kepada kemajuan Negara. Asuhan ilmu ini dilakukan dalam usia yang sedemikian muda dan menjurus kepada nilai pendidikan yang terkini dan sesuai dengan tuntutan masa. Selain daripada kewujudan sekolah khas seperti NUS - High School of Mathematics and Science, GEP di Singapura juga ditawarkan di sekolah terpilih. Apa yang dikatakan sebagai School-Based GEP yang ditawarkan secara bersepadu turut dilaksanakan. Malahan secara keseluruhannya, GEP menawarkan beberapa jurusan yang dirasakan penting kepada pembangunan Negara tersebut. Antara pecahan yang terdapat dalam pelaksanaan GEP di Singapura, khusus dalam bidang Sains adalah seperti berikut: Creative and Heuristic Applications of Science (CHAOS), Science Mentorship Programme (SMP), Science Reseach Programme (SRP) dan Science Focus (SF). SMP misalnya dijayakan secara 'bersama' dengan beberapa institusi pengajian tinggi terpilih seperti NUS dan Nanyang Technical University (NTU). Jurusan kemanusiaan (humanities) pula dibahagi kepada beberapa program utama: Creative Arts Programme (CAP), Humanities and Social Science Research Programme (HSSRP) dan Moot Parliament Programme (MP). Dua jurusan lain yang turut ditawarkan adalah Program Inovasi (Innovation Programme) dan Program Kepimpinan (Leadership Programme). Apa yang penulis ingin cadangkan adalah kemungkinan pihak kementerian membina Unit Baru, yang menjurus dan selari dengan matlamat GEP (Singapura) ataupun Gifted and Talented Education (GATE, Australia) dengan seberapa segera. Mahu tidak mahu, kita mesti pantas bergerak sama laju, sama pantas dengan Negara yang memberikan sokongan dan dokongan padu kepada kalangan para pelajar yang punya kemahiran dan kemampuan luar biasa. Usaha memilih dan membina potensi para pelajar ini mesti diberikan fokus dan perhatian utama. Niat dan hasrat program PERMATA yang diusahakan oleh Kerajaan adalah amat baik. Namun, usaha juga mesti dilakukan dalam mengenalpasti bakat di peringkat yang lebih dewasa sedikit.Penulis juga suka mencadangkan agar pihak kerajaan memberikan KPI khusus kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan Koridor Baru Pembangunan untuk mengusahakan program ala-GEP ataupun ala-GATE dengan seberapa segera. Jika usaha ini dilakukan, kita sudah mampu mempunyai sekurang-kurangnya 4 atau 5 sekolah model khas yang mengurus mereka yang 'terpilih' dan mempunyai kemampuan luar biasa. Seharusnyalah, ianya tidak tertumpu kepada usaha pembangunan pelajaran sains dan teknologi (S & T) semata-mata; malahan mungkin mampu membina mereka yang sangat jaguh dalam bahasa, kesusasteraan dan alat muzik tradisonal. Langkah pengukuhan jatidiri bangsa jangan sesekali kita pinggirkan.Yang jelas, kita sedang berada di landasan pembangunan pendidikan yang betul dan tepat. Langkah Kerajaan memperkenal pengkhususan terma Sekolah Bistari dan Sekolah Kluster membayangkan bahawa kita sudah berusaha dengan bersungguh ke arah ini. Namun, apa yang masyarakat di bawah mahu lihat dan perhatikan adalah kewujudan segera 'model sekolah' yang dianggap sangat terkehadapan dan fokus dalam pendekatan pendidikan yang ada. Pendemokrasian infrastruktur dan akses yang diperkatakan di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu sendiri telah membayangkan komitmen luar biasa kerajaan dalam bidang pendidikan. Bukan niat kita membina 6 atau 7 sekolah yang hebat; kita mahukan jauh lebih daripada itu!Satu perkara yang paling jelas adalah keperluan kita memperluaskan 'pemegang taruh' (stakeholders) dalam agenda pengukuhan pendidikan. Di Singapura, mahupun Australia, keterlibatan pihak insitusi pengajian tinggi dan pihak swasta dalam membugar semangat keterpilihan dan kecemerlangan ini adalah sangat luar biasa. NUS, Nanyang Technical University menjadi 'teras penting' kepada pemerkasaan GEP di Singapura. Syarikat seperti Rio Tinto menaja dan menjadi teras kepada pelaksanaan GATE di Australia. Apakah suasana kebersamaan ini juga boleh diwujudkan di Malaysia? Pastinya, kita mampu berbuat demikian.Dengan memberikan fokus kepada pelaksanaan program ala GEP atau ala GATE di Koridor Pembangunan Baru adalah pilihan yang terbaik yang mampu difikirkan. Bayangkan jika kita mempunyai 'Malaysian Gifted Education Programme' yang tersendiri di setiap koridor. MGEP-Koridor Utara (NCER), MGEP-Koridor Timur (ECER), MGEP- Iskandar, MGEP-Score (Sarawak) dan MGEP-SDC (Sabah). Setiap daripada program ini juga akan dibantu secara terus oleh beberapa Universiti dan IPT yang berdekatan. Apapun jua, apa yang dicadangkan oleh penulis ini sekadar respons dan maklum balas awal yang diperoleh masyarakat di bawah tentang keputusan mengehadkan subjek di dalam SPM. Sementara ramai yang bersetuju, ramai juga yang tidak. Ada yang menyatakan kerisauan jika ianya mengehadkan sama 'potensi' sebenar yang ada di kalangan pelajar kita. Ada juga di kalangan pihak pembangkang yang menghentam secara semborono tetapi gagal memberikan sebarang cadangan yang lebih rasional dan berjiwa besar. Inilah nilai kepembangkangan yang kita ada - gemar menghentam tetapi tidak mampu membawa 'nilai dan makna' kepada apa yang mereka tidak persetujui. Minda mereka terbelenggu dengan 'fikrah kepembangkangan' yang sempit dan tidak berlapang dada.Dua perkara yang penulis mahu tekankan: pertama, mekanisme sedia ada - khususnya dalam mengamalkan konsep 'terbuka' di dalam pemilihan subjek SPM boleh dipertimbang untuk dikekalkan dengan pra-syarat jelas bahawa pelajar maklum bahawa ianya tidak membawa sebarang kelebihan atau 'merit' di dalam penganugerahan biasiswa. Keduanya, jangan sesekali subjek teras menjadi korban kepada usaha kita mengenakan had kepada pelajar. Penulis sekadar menyampaikan pandangan kelompok yang khuatir ada subjek teras yang dirasakan penting bakal 'dikorbankan' dalam usaha ini.Adalah juga menjadi keperluan untuk kita memandang isu pendidikan dalam 'spektrum' yang lebih luas. Perubahan demi perubahan, yang dibuat atas landasan kecemerlangan sistem pendidikan mestilah dijayakan dengan sepenuh hati. Hakikatnya, jatuh bangun, maju mundur, miskin kaya sesuatu bangsa akan banyak bergantung dengan kesiagaan kita mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan secara yang menyeluruh. REEZAL MERICAN NAINA MERICANPresiden GPMS

Free Gaza