Tuesday, August 18, 2009

Kaji semula sistem pendidikan menengah

Ketika merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Muhyiddin meminta semua pihak memandang gejala ponteng dan gangsterime sebagai perkara serius yang perlu ditangani oleh semua pihak. Gejala ponteng bukanlah baru dalam arena pendidikan kerana ianya berlaku sejak sekian lama dan keadaan ini kian ketara akhir-akhir ini apabila kurangnya kawalan dan tindakan yang boleh diambil terhadap pelajar yang terlibat dalam gelaja ponteng. Malah dalam sesetengah situasi, pihak yang ingin mengambil tindakan khususnya Guru Disiplin atau Penolong Kanan HEM perlu berfikir panjang bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini. Kuasa guru di luar sekolah adalah amat terbatas dan gejala ini sering ditimbulkan oleh pelajar yang memang sudah tidak berminat untuk belajar. Kelompok ini pula mampu mempengaruhi golongan ‘pelajar baik’ dan akhirnya memberikan kesan yang lebih besar kepada iklim persekolahan. Sebelum membincangkan perkara ini kita harus mengenalpasti golongan manakah yang lebih banyak terlibat dalam gejala ini? Kebanyakkan pelajar yang terlibat dalam salahlaku ini adalah pelajar dari tingkatan 4 dan 5 namun tidak dinafikan terdapat penglibatan pelajar tingkatan 1 hingga 3, tetapi golongan ini mungkin ‘kurang berani’ atau ‘masih bimbang’ melakukan salahlaku tersebut.

Sehubungan itu Kementerian Pelajaran wajar mengkaji adakah kewajaran pelajar yang berisiko atau yang sudah tidak berminat bersekolah dipaksa untuk datang dan kemudiannya memberikan masalah kepada sistem pendidikan kita. Saya masih teringat sistem pendidikan sebelum ini di era 80an di mana pelajar yang tidak mencapai tahap ditetapkan dalam peperikasaan SRP (kini PMR) tidak layak untuk naik ke tingkatan 4. Saya melihat kesan kepada sistem ini adalah amat positif berbanding sistem sekarang yang membolehkan semua pelajar naik ke tingkatan 4 secara automatik. Sistem peperiksaan SRP dahulu lebih baik dilaksanakan semula untuk pelajar PMR bagi membendung pelajar yang lemah dan sudah tidak layak belajar terus ‘dipaksa’ melalui zaman persekolahan yang mengundang mereka melakukan gejala ponteng dan gangsterisme. Kebanyakan mereka yang tidak layak berada di tingkatan 4 banyak mencetuskan iklim persekolahan yang kurang kondusif dan menjejaskan tumpuan guru yang mengajar serta menimbulkan gangguan kepada pelajar yang masih bersemangat untuk belajar dan berjaya. Sebelum mengembalikan semula sistem lama ini, Kementerian Pelajaran wajar menyediakan sekolah vokasional atau Pusat Latihan Giat Mara disetiap daerah agar pelajar yang tidak layak menaiki tingkatan 4 berpeluang mempelajari kemahiran kerjaya untuk meneruskan impian mereka. Adalah sangat malang jika mereka berada di tingkatan 4 dan 5 dalam dalam masa yang sama mereka tidak mampu meneruskan persekolahan dan hanya menghabiskan masa dan wang ringgit ibu bapa. Dalam hal ini kita wajar mencontohi sikap ibu bapa kaum cina yang ‘menamatkan’ persekolahan anak-anak mereka jika dilihat sudah tidak berminat sebaliknya digalakkan bekerja dengan mana-mana pihak yang boleh membekalkan kemahiran dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik dari graduan universiti yang menunggu dan mencari kerja. Malah golongan ini berjaya mencipta kerja dan boleh berdikari berbanding mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

Pelajar Melayu yang berada dalam lingkungan ini wajar diberikan perhatian dan peluang membina masa depan yang lebih terjamin dengan melalui sistem kemahiran semasa tingkatan 4 dan 5 di sekolah khas (vokasional kemahiran). Saya percaya jika pelajar di tingkatan satu hingga tiga mengetahui akibat kegagalan di peringkat PMR peluang untuk berada di aliran akademik akan tertutup maka mereka akan mempunyai fokus kepada pembelajaran bagi melayakkan naik ke tingkatan 4. Jurang dan masalah ponteng serta masalah salahlaku di kalangan pelajar di tingkatan satu hingga 3 juga boleh dikawal dan dikurangkan. Trend ‘couple’ di kalangan pelajar sekolah yang hampir mustahil untuk dihalang juga boleh mendorong pelajar lelaki untuk berusaha menempatkan diri mereka ke tingkatan 4 dan boleh membantu mereka bersaing dan berusaha semasa di tingkatan 1 hingga 3. Mereka akan merasa malu jika ‘couple’ mereka berjaya naik ke tingkatan 4 dan boleh merangsang diri masing-masing berjaya.

Dalam masa yang sama, usaha harus digerakkan seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi memerangi budaya ponteng yang mengundang berbagai gejala yang menyebabkan pelbagai jenayah dilakukan oleh pelajar. Pembentukan pasukan seperti yang dicadangkan juga harus mempunyai kuasa dan kerjasama khususnya dari pihak ibu bapa dalam membantu pihak Kementerian Pelajaran. Malahan kuasa dan bidang tugas Guru Displin juga wajar dinilai semula. Sekolah-sekolah berisiko perlu diberikan kelonggaran masa mengajar dan mungkin dilantik guru displin sepenuh masa bagi memberikan tumpuan mengawal masalah pelajar berisiko.


Cr. Lukman Moidin

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Negeri Kedah

No comments:

Free Gaza