Saturday, August 30, 2014

Melayu tersekat di fasa survival?

BEBERAPA siri insiden di mana ikan-ikan paus terdampar di persisiran pantai dunia adalah suatu fenomena unik namun menyayat hati. Yang paling menyentuh perasaan ialah apabila para penyelidik membuktikan adanya kemungkinan kawanan-kawanan ikan paus tersebut sudah 'menyerah kalah' dalam menempuhi cabaran survival spesiesnya gara-gara senario pengurusan bio-sfera yang kian berkecamuk.
Hari ini, kalaulah tidak ada sebarang inisiatif ikhlas yang berkadar segera dan bersifat kritikal, janganlah hendak dipelikkan sangat kalau- kalau nasib orang Melayu suatu ketika kelak bakal terjerumus dalam kancah 'dilema ikan paus' tersebut; bergelumang dengan survival bangsanya!
Ketika era Dato' Onn Jaafar sendiri, kita sebenarnya telah pun berada pada suatu titik 'survival' di mana tanah air dipertahankan daripada menjadi 'jajahan kekal' British. Walaupun situasi kini berbeza, kekalutan lantaran perpecahan bangsa dan didesak pula himpitan krisis ekonomi sejagat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pada hakikatnya tidak kurang memeritkan.
'PADANG POLITIK MELAYU' DISEMPITKAN
Saya terkilan apabila memikirkan nasib Melayu yang tersekat di fasa survival kini ada kaitan dengan 'padang permainan politik dan ekonomi' yang adakalanya 'disempitkan' oleh bangsa sendiri juga!
Kenapa perlu disempitkan? Sedangkan hari ini wujudnya dunia alam maya yang melipat-gandakan keluasan padang politik dan ekonomi kita!
Kita perlu juga sedar dengan senario yang berlaku di mana hak orang Melayu untuk berniaga di beberapa tempat dirampas dan berlaku juga kejadian di mana perarakan meraikan Maulidur Rasul tidak dibenarkan.
Itu belum mengambil kira kes-kes lepas lagi. Kalau hendak dikira semuanya, pasti tidak cukup sepuluh jari.
Kononnya hendak mengajar kuasa untuk menegakkan agama dan keadilan. Tetapi dalam proses itu, suatu yang sudah menjadi hak pula terlepas daripada genggaman!
Tak usahlah asyik mendendangkan pesona keagungan empayar Islam untuk meraih sokongan murahan. Ataupun bernostalgia dengan kehebatan empayar Melaka dan legenda Hang Tuah yang menjadi lambang keagungan Melayu suatu ketika dulu.
Apa gunanya kalau hakikatnya kita masih bermentaliti sempit dan asyik bertikam sesama sendiri? Kita sepatutnya telah lama bergerak ke arah mentaliti Melayu Baru yang lebih radikal, enthusiastic dan berlandaskan modal iman sejati?
Lantaran itu kita seharusnya berwaspada menilai 'bisikan syaitan' yang berniat untuk memberi gambaran mengelirukan. Jauhkan dari provokasi yang ingin melaga-lagakan. Jika memberi sokongan, pastikan baik untuk kemaslahatan rakyat dan masyarakat.
Jika menerima nasihat pula, pastikan ia diterima dari mereka yang beriman. Kalaulah yang diniatkan di hati itu sesuatu yang baik dan cara sudah ternyata betul, apa lagi yang mesti dikhuatirkan?
DASAR BAIK, PELAKSANAAN BERMASALAH
Hari ini, melalui gandingan mantap Najib-Muhyiddin kita dapat melihat adanya suatu kekuatan yang kukuh bagi Melayu dan negara menongkah gelombang abad ke-21 dengan penuh jaya. Namun persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat sejak dahulu lagi adalah kita sering menggubal dasar yang berasaskan falsafah dan manifestasi yang baik namun masih gagal dalam pelaksanaan.
Menurut pengamatan saya, lapisan penggubalan dasar adalah di peringkat kepimpinan tertinggi negara. Pemimpin di lapisan seterusnya perlu bertindak sebagai agen pelaksana dasar dan tidak perlu mempertikaikan dasar yang dibuat kecuali dalam keadaan wujudnya kepincangan dalam proses pelaksanaan. Dan kesemua pelaksanaan ini pula perlu dipantau hingga peringkat tertinggi.
Inisiatif Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalannya begitu jelas berniat baik, tetapi adanya kepincangan tertentu menyebabkan objektifnya belum di gapai 100 peratus.
Orang Melayu memang masih perlu dibantu malahan hak ini tidak perlu dipertikai. Namun saya melihat 'sistem' yang ada hari ini telah gagal menerbitkan minda Melayu 'kelas pertama' pada skala yang diperlukan.
Di sinilah kegagalan kita; mengubah Melayu kepada mentaliti yang bersifat 'kombatif' sebaliknya kekal dengan perangai 'terlalu' bergantung. Sesetengahnya pula lebih kepada hendak cepat kaya. Ada jugalah kelibat-kelibat yang berjaya ke level yang ditagih, tetapi jumlahnya tidak ramai.
Dengan kita sudah sedekad di abad ke-21, anjakan paradigma dan minda bukan lagi sekadar dituntut malahan menjadi kewajipan khusus andai Melayu masih mahu kekal progresif dan kompetitif. Perkara-perkara sebegini sepatutnya menjadi sebahagian dari kriteria dasar dan pelaksanaan juga. Untuk itu cadangan dan suara hati rakyat perlu dilihat. Betul ataupun salah, tidak menjadi hal kerana yang penting akan wujud suatu 'perkongsian jambatan' antara rakyat dan kerajaan.
LERAIKAN PEMIKIRAN KUSUT DAN JUMUD
Dalam pada itu, sistem pendidikan mesti dijadikan medium pembudayaan pemikiran Melayu yang lebih progresif dan berpandangan jauh. Justeru, di samping perubahan semasa dalam sistem pendidikan ketika ini yang menekankan ke arah melahirkan generasi profesional yang mampu dipasarkan, perubahan sistem pendidikan mesti mampu melahirkan generasi yang kukuh iman, berjati diri Malaysia dan berdaya saing.
Mata pelajaran Sejarah yang diajar sepatutnya lebih bersifat kritikal, pengajaran yang mengesankan. Mata pelajaran Agama pula mestilah melahirkan generasi berakidah kukuh dan mempunyai keimanan sejati yang teguh. Kedua-dua subjek ini perlu diletakkan sebagai wajib lulus dengan keputusan baik.
Orang Melayu hakikatnya memang boleh berjaya. Kejayaan Petronas suatu bukti bahawa syarikat yang diterajui dan dibarisi majoriti orang Melayu mampu berada pada kedudukan baik dalam ranking Fortune 500 malahan diletak dalam kelompok elit New Seven Sisters yang berpengaruh dalam industri tenaga.
Tidak ada persoalan tentang kebolehan kita. Persoalan sebenar ketika ini ialah kesanggupan kita yang akhirnya merujuk pula kepada mentaliti kita sendiri. Mentaliti kelas ketiga ataupun kelas pertama? Mentaliti suka berdengki, hati busuk, tikam-menikam dan gila kuasa ataupun yang berkait mentaliti bersifat 'mahmudah'!
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrW49yWa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Free Gaza